Latar belakang UMNO_11

Pada Jun 1987, satu tindakan guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 orang ahli UMNO (yang asalnya 12 orang tetapi seorang menarik diri, kumpulan ini kemudiannya dikenali sebagai UMNO 11) di mana mereka telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung UMNO April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal, serta tidak mempunyai kesan.

Fakta-fakta yang telah dipersetujui menyatakan 30 cawangan tidak diluluskan dalam empat bahagian dan lain-lain. Satu perkiraan yang mudah menunjukkan bahawa jika perwakilan daripada 30 cawangan yang tidak diluluskan dalam empat bahagian tidak diambil kira dalam Perhimpunan Agung, keputusan pemilihan akan mewujudkan suatu jurang undi yang amat tipis antara pemenang dan calon yang kalah[1]. Pada tahun itu, Dr Mahathir Mohamad menang tipis sebanyak 43 undi ke atas Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), iaitu 761 berbanding 718 undi untuk jawatan Presiden UMNO.

Selepas beberapa siri perbicaraan yang mengambil masa selama tujuh bulan, kes tersebut telah dibicarakan di hadapan Hakim Harun Hashim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Harun telah memutuskan bahawa di bawah undang-undang, beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.